Makanan Menarik di sini ( Kuala Lumpur )
1.Warung Dusun Gearbox
Persiaran Jaya (Seksyen 9), 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor
Terdapat beberapa premis masakan sup di Lembah Kelang yang menawarkan sup daging, sup tulang dan sup ayam yang terbaik. Namun sup gearbox warung Dusun di Bangi ini tidak boleh ditandingi mana-mana sup yang lain. Sup tulang kaki atau gearbox di sini amat menyelerakan dan digemari penduduk tempatan mahupun pengunjung dari luar.
Supnya yang berperisa, daging yang lembut membalut tulang serta sum-sum dalam tulang yang amat sedap. Di sini, anda boleh melihat setiap meja pasti ada semangkuk besar sup gearbox lengkap dengan penyedut minuman untuk menyekuah dan sum-sum. Ada pengunjung yang menyedut hingga pening lalat. Lupakan seketika masalah lain kerana sup di sini memang terbaik untuk dinikmati.
2.Satay Willy
Sungai Ramal Food Junction, Kajang
Sate Kajang pastinya bukanlah nama yang asing dikalangan rakyat Malaysia. Daripada kanak-kanak sehinggalah yang tua pasti tahu dan pernah merasakan keenakan sate Kajang. Apabila berbicara tentang sate Kajang, tidak dapat tidak nama Haji Samuri akan menjadi bualan. Namun di Sungai Ramal Food Junction, terdapat Satay Willy yang semakin mencipta nama.
Beroperasi bermula sebelah petang, barisan beratur akan mula panjang selepas jam 6 petang dan mencapai kemuncak pada jam 8 malam. Sate yang dihidangkan di sini sangat ‘juicy’ dan lembut dan begitu mudah memikat selera siapa saja yang merasainya. Dengan harga yang amat berpatutan iaitu bermula daripada 70 sen, ia pastinya berbaloi untuk dicuba.
3.Restaurant Rosdet Tomyam
Terletak di 160, Jalan Raja Abdullah, Kuala Lumpur, Kampung Baru, 50300, Kuala Lumpur
Tomyam Kampung Baru, satu istilah yang amat sebati di kalangan penggemar-penggemar tomyam sekitar Kuala Lumpur dan juga di kalangan pengunjung-pemgunjung dari luar. Maka tidak hairanlah sekiranya restoran tomyam sekitar Kampung Baru sering dipenuhi pelanggan terutamanya pada musim cuti.
Antara restoran yang memikat selera adalah Restoran Rosdet Tomyam yang terletak bersebelahan KL International Hotel.
4.Burger Bakar Abang Burn
Dagang Avenue (Jalan B/3A, Taman Dagang), 68000 Ampang, Selangor
Burger, burger, burger. Antara menu yang paling popular di dunia. Hampir setiap individu di dunia tahu apa itu burger. Burger adalah antara sajian lengkap yang mempunyai karbohidrat, protein dan sayuran dalam satu hidangan yang sama malah boleh dikatakan dalam setiap gigitan. Malah ia adalah sajian yang ringkas, cepat dan mobil. Kini burger diinovasikan dalam pelbagai cara dan perisa mengikut selera masyarakat setempat.
Di Malaysia ketika ini, burger bakar mula menjadi bualan dan amat digemari dimana saja. Burger Bakar Abang Burn merupakan salah satu perintis kepada fenomena ini. Kedai mereka di Ampang boleh dianggap ibu pejabat kepada lebih 19 cawangan yang beroperasi kini kerana di sinilah sejarah kedai burger ini bermula. Menurut penggemar-penggemar burger bakar, Abang Burn adalah penyaji burger bakar terbaik dalam kelasnya.







No comments:
Post a Comment